Kisah seorang surirumah
Bangun pagi seawal 5 pagi membersihkan diri, solat subuh dan terus saja ke dapur menyediakan sarapan buat keluarga. Jika terlewat bangun nanti, tidak sempat menyediakan sarapan untuk di bawa bekal buat suami ke tempat kerja.
Kemudian pula, berlari mengejutkan anak di bilik masing-masing.Menyiapkan anak untuk ke sekolah. Kadang-kadang apabila tiba mood anak tidak begitu baik pada pagi itu. Berperang juga pada waktu pagi disebabkan anak meragam kerana tidak mahu ke sekolah. Terdengar jeritan dan tangisan anak di bilik air.
Si adik pula terjaga, kerana terdengar tangisan kakak yang memecah suasana pagi. si adik pula menangis dan ingin mandi di pagi hari.
Menangis atau tidak, kamu tetap harus ke sekolah anakku.
Selepas itu, apabila suami begerak ke tempat kerja dan anak sudahpun ke sekolah. Mak terus sahaja menyidai kain yang telahpun di basuh pada malam tadi. Habis sebakul di sidainya diampaian. Sambil-sambil menyidai kain, ternampak pula, sampah-sampah dedaun kering bersepah di luar rumah. Di sapunya halaman rumah sehingga bersih.
Si Adik menemani mak menyapu dedaun kering tadi. Adat anak-anak kecil pantang bertemu pasir. Dikoreknya pasir itu dibuatnya seperti mainan. Kelihatan gembira sekali. Tetapi hati mak bernanah pedih melihat anak bermain pasir.
Sesudah menyapu di luar, di bawanya si adik masuk kek rumah. Di mandikan si adik sekali lagi. Selesai si adik memakai baju, di bancuhnya pula susu buat si adik. Adik meminum susu sambil melihat kartun kegemaran.
Tugas mak seterusnya, mencapai peruik nasi dan terus saja menanak nasi. Jam di tangan kelihatan menghampiri pukul sebelas pagi. Di keluarkannya ayam di dalam peti ais sambil merencana menu pada hari ini. Ya, hari ini kita masak, ayam masak merah.
Sambil menunggu ayam tadi lembut. Mak mencapai bakul yang penuh dengan kain untuk dilipat. Di lipatnya satu persatu. Sedang asyik melipat kain. Si adik pula terlanggar kain yang di lipat tadi. Terpaksa mak menyusun semula kain tadi samil mulutnya menceceh. Menceceh bukan kerana apa, kerana timbul perasaan geram kepada si adik yang sengaja melanggar susunan lipatan kain. Dan mak membawa ke dalam bilik dan menyusunnya ke dalam almari.
Selesai melipat dan menyusun kain, mak masuk ke dapur semula menyediakan makanan tengahari. Satu persatu bahan di keluarkan di dalam peti ais. Maka, bermulalah agenda memasak mak pada hari ini. Sekali sekala mak intai-intai adik yang sedang bermain. Di dalam senyap-senyap rupanya adik sedang menumpahkan susu dilantai.
Sekali lagi mulut mak bising. Di ambilnya kain buruk dan terus saja di lap tumpahan susu di lantai tadi. Bimbang lantai licin, menyebabkan adik jatuh nanti. Mak pun boleh jatuh juga, jika tidak berhati-hati.
Selesai memasak. Mak bermain-main dengan adik. Gelak tawa gembira mereka berdua. Mak meletakkan nasi di dalm pinggan. Disupanya adik makan. Sambil menyuapkan nasi ke mulut adik. Mak juga menyuapkan nasi ke mulut sendiri.
Sesudah makan mak, mengemas dapur. Jam pula menunjukkan pukul satu 1.30 tengahari. Pantasnya masa berlalu, bisik mak di dalam hati. Adik sudah mula meragam. Mungkin mengantuk barangkali.
Mak menyediakan susu. Ditidurkan adik. Mak pun baring bersama adik. Ditepuk-tepuknya adik supaya tidur. Akhirnya adik terlelap juga. Lena bersama botol susu kesayangannya.
Waktu solat buat mak. Dengan rasa penuh tawadhuk, mak menunaikan solat zohor. Memohon kepada Allah swt keberkatan, kebahagiaan, kesejahteraan, kejayaan dan kemerlangan keluarga. Panjang doa mak buat ahli keluarga semua. Mengalir airmata mak pada ketika itu. Mak tahu, mak tak punyai harta untuk ditinggalkan buat anak-anak mak. Tapi mak ada doa buat kalian.
Sesudah mak solat. Mak mula mengemas ruang tamu. Kain yang di sidai di jemuran tadi diangkat. Jam bergerak pantas. Menunjukkan pukul 3.50 petang. Adik sudah mula terjaga dan terus saja bermain. Mak bermain bersama-sama adik sambil menonton TV.
Apabila masuk waktu asar, mak memnunaikan solat Asar. Sekali lagi mak berdoa kepada Allah swt mengenai keluarga. Mak mengaji Alquran sambil ditemani adik. Adik bermain-main di sebelah mak ketika mak bersolat dan mengaji.
Ruang tamu bersepah semula kerana adik meyepahkan mainan. Mak kutip tanpa rasa marah. Mungkin diwaktu petang begini mak sudah redha ataupun letih. Diambilnya satu persatu dan dimasukkan ke dalam bakul mainan.
Sesudah itu dibawanya adik mandi. seronok adik bermain air. Adik mandi, mak juga turut basah sekali.Tidak lama lagi ayah akan balik dari kerja dan kakak akan balik dari sekolah.
Tepat jam 6.30 petang, kakak dan ayah sampai ke rumah. Seronok adik berjumpa dengan kakak semula. Sekali lagi mereka melambakkan mainan yang ada didalam bakul. Mak dan ayah memerhati sambil bersembang mengenai aktiviti hari ini.
Ayah menceritakan tentang pejabatnya kepada mak. Mak sememangnya seorang pendengar yang setia.Apa saja yang diceritakan oleh ayah didengarnya dengan baik. Ayah menolong mak mengutip mainan dan memasukkan semula ke dalam bakul mainan. Ayah juga menolong mak membuang sampah dan menyapu ruang tamu.
Maghrib tiba, satu keluarga bahagia. Bersolat berjemaah bersama-sama. Ayah menjadi imam kepada solat maghrib ini. Alhamdulillah, semoga ada keberkatan di dalam keluarga ini.
Tugas mak belum selesai lagi. Memanaskan makanan dan menyediakan makan malam buat keluarga. Mereka makan bersama-sama. Penuh berselera. Sekali sekala kakak bercerita tentang kawan-kawannya di sekolah.
Sesudah makan, mak mengemas meja dan dapur. Menyusun pinggan, Membersihkan segala kotoran yang terdapat di dapur.
Dan pada pukul 9.30 malam, semua ahli keluarga tadi masuk dan berehat bagi meneruskan aktiviti seterusnya untuk keesokkan harinya. Adalah mak akan terus masuk tidur atau mak masih terjaga membuat kerja-kerja rumah yang masih belum selesai?
Hanya mereka yang bergelar surirumah saja yang memahami keadaannya. Sungguhpun bergelar surirumah tidak perlu ada rasa rendah diri kerana kita telah berbakti buat keluarga tersayang.
Walaupun duit hanya berharap dan bergantung kepada suami. Namun, jangan rasa mengalah kerana kita punya kudrat yang boleh dihasilkan didapur rumah sendiri.
Hasil tangan mak keberkatan buat keluarga. Jangan lupa Allah sentiasa bersama dan membantu kita yang bernama surirumah.
Mungkin kita tidak sehebat ibu-ibu yang berkerjaya di luar sana, tetapi kita hebat di pandangan anak-anak di dalam menguruskan rumahtangga
Tahniah, kerana memilih menjadi Pengurus rumahtangga.
Comments
Post a Comment